Jumaat, 25 Jun 2010

EGO???memang ego...(^_^)

Ego satu sifat mazmumah yang nampak mudah untuk dibuang tetapi sebenarnya payah. Buktinya orang yang sedang mensyarahkan tentang ego supaya orang insaf jangan berlaku ego, waktu itu dia sedang ego sebenarnya. Ego ini terlalu seni sangat dan terlalu tersembunyi. Sebab itu, Imam Ghazali yang telah membuat kajian mengatakan sifat mazmumah yang paling akhir keluar dari diri manusia ialah sifat ego. Ertinya, ego ini bukan sifat yang mudah dikeluarkan. Sifat mazmumah lain keluar lebih dahulu, ego yang akhir sekali. Untuk memahami ego:

1. Untuk faham ego itu mesti ada ilmunya. Ilmu itu kalau kita baca sendiri susah hendak faham.

2. Kalau sebarang guru hendak ceritakan tentang ego pun tidak sempat kerana ia tersembunyi sangat kecuali orang yang Allah bantu. Kalau Allah tidak bantu, tidak boleh ia menghuraikannya. Penyakit-penyakit hati yang lain, dengan ilmu dan akal sudah cukup untuk menghuraikannya. Tapi penyakit ego ini kalau Tuhan tidak bantu, payah. Seperti yang dikatakan tadi, syarahkan orang supaya jangan jadi ego tapi diri sendiri sedang ego. Oleh itu, mesti ada guru yang menunjuk atau memimpinnya untuk mengenal sifat yang berada dalam diri kita.

3. Mesti kuat bermujahadah. Mazmumah yang akhir sekali keluar ialah ego, ini bermakna kuat sungguh dia bertahan. Mesti mujahadah sungguh-sungguh bukan alang-alang. Mujahadah itu mesti diteruskan.

4. Selain itu, berdoalah dengan Tuhan selalu. Ego ini memang susah sangat. Orang yang dinilai derhaka pada Tuhan ada penyakit ego. Contohnya seperti iblis. Ini di kalangan bukan manusia yang derhaka disebabkan oleh ego. Di kalangan manusia yang mula derhaka juga disebabkan oleh penyakit ego. Iaitu anak Nabi Adam, Habil dengan Qabil.

Tanda-tanda ego kita boleh kesan tetapi belum tentu juga kita tidak ada ego. Di antaranya:

1. Kita harap kejayaan itu datang dari kita ataupun kebenaran itu datang dari kita. Kita rasa jangan bagi orang lain. Kita merasakan janganlah datang dari orang tapi datanglah dari kita.
2. Kalau orang dapat memperlihatkan kebenaran, kta tidak senang.
3. Kita lebih suka memberi nasihat daripada mendengar nasihat.
4. Kita suka kita yang bercakap daripada orang lain bercakap di dalam majlis atau di mana-mana.
5. Payah hendak menerima pandangan orang. Lebih-lebih lagi kalau kita tengok orang itu lebih rendah dari kita samada dari segi pangkat, ilmu atau umur.
6. Kita tidak senang kejayaan itu dari orang lain bukan dari kita. Ego ini akan lahir buahnya iaitu dendam, marah serta hasad dengki.


Itulah di antara tanda-tanda ego. Kalau dapat difahami, kita boleh ukur diri sendiri. Terutama kalau kita sedang bersyarah, tiba-tiba ada orang sanggah pendapat kita, hendak buat teguran. Tentulah kita tidak boleh terima. Kalau boleh biarlah kita yang bercakap kebenaran itu. Oleh kerana susah dan seninya ego, maka ego yang besar dan mudah dikesan hendaklah ditebas. Yang halus, biarlah faktor keramat yang menyelamatkannya. Kita harap bila lahir pemimpin yang ada keramat akan tercabutlah semua ego itu.

Perempuan elok dipoligamikan kerana kebanyakannya sombong sangat. Poligami ubat sombong bagi perempuan. Bila kita sentiasa dicabar-cabar, disusah-susahkan oleh madu, maka akan menurunkan perasaan besar diri, perasaan keras hati. Hati kita diproses. Bila dihempuk oleh madu, lembiklah sikit sombong yang ada dalam diri kita. Oleh kerana perempuan ini sombong sangat, maka eloklah dipoligamikan.

Lelaki sombong juga. Kadangkala lebih hebat persaingannya dari berpoligami. Dalam poligami, kita masih boleh bercakap dan bermesra dengan madu. Orang lelaki sampai bertegang-tegang kerana masing-masing sombong. Bila berjaya sedikit sudah tidak suka dengan orang bawah. Jadi memang Tuhan adil menjadikan saingan-saingan itu sehingga kita dapat mengekalkan rasa kehambaan. Memberus sombong itu. Tuhan hendak kita begitu.

Adakalanya pula ego itu datang selepas orang lain ego. Bertolak dari ego orang lain, keluar ego kita pula. Contohnya, bila kita tidak senang dengan orang ego, kita pun ego sama. Timbul rasa meluat-luat. Sama-sama ego disebabkan kesan dari ego orang lain. Ego kita disuburkan oleh orang lain. Sepatutnya kalau kita tengok orang ego, tidak senang dengan kita, kita kata padanlah sebab ego sangat. Hendak buang ego tapi tidak pun. Hati berkata-kata, Engkau ingat engkau besar sangat, aku tidak boleh . Jadi, sama sahaja.

Ada juga ketikanya sombong itu mesti dilawan dengan sombong. Kita patut ego pada orang yang sombong dengan Tuhan, dengan Islam, dengan syariat, Quran. Itu kita mesti lawan dengan sombong. Sebelum ini kita bahas tentang sombong dengan sesama kita secara peribadi. Kadang-kadang orang sombong dengan Tuhan kita tidak terasa pun. Bila terkena pada diri sendiri, kita terasa sangat. Itu menunjukkan kita ada kepentingan diri. Kita patut sakit hati kalau orang sombong dengan Tuhan, dengan perjuangan Islam. Tapi yang itu kita buat tidak tahu sahaja. Kita pantang kalau orang sentuh peribadi kita, tersinggung sangat. Oleh itu, ada waktunya ego itu dibenarkan dan ada ego yang perlu dikikis dan dibuang sungguh-sungguh. Sebab itu, pentingnya pimpinan guru untuk menyuluh diri kita.

Catatan Popular