Ikhwan al-Safa merupakan suatu kelompok kawan pencari kebenaran yang terjalin bersama oleh kejijikan mereka terhadap dunia dan pengabdian mereka kepada kebenaran walau dari mana pun asalnya. Tumpuan mereka yang utama ialah terhadap teologi dan ilmu-ilmu Ilahi. (Majid Fakhry, 1993: 199).
Dinukilkan bahawa, pada masa pemerintahan Buwaihiyahlah suatu perhimpunan falsafah agama rahsia yang menggelarkan dirinya ‘Persaudaraan Suci’ iaitu Ikhwan al-Safa ini muncul di Basrah. (Majid Fakhry, 1993: 198). Gelaran penuh kumpulan ini ialah Ikhwan al-Safa wa Khullan al-Wafa’ wa Ahl al-Hamd wa Abna’ al-Majd, sempena satu watak dalam buku yang sangat mereka sanjungi, iaitu al-Kalilah wa al-Dimnah.(Ahmad Sunawari Long, 2008:224). Mereka juga digelar sebagai ‘Brethren of Purity’ oleh tokoh-tokoh barat. Kumpulan ini diasaskan pada kurun ke-4 Hijrah bersamaan kurun ke-10 Masihi. Selain di Basrah, mereka juga mempunyai satu lagi cabang di Baghdad. Walaubagaimanapun, tidak diketahui nama-nama individu yang terlibat di sana. (Al-Zarkali, 1347: 5).
Setelah keluar dari barisan Isma’iliyyah, yang merupakan cabang Syiah yang heterodoks yang telah begitu jauh terlibat dalam propaganda politik rahsia, iaitu sejak Imam mereka Isma’il meninggal dunia pada tahun 760 Masihi, Ikhwan al-Safa melanjutkan kegiatan kaum propaganda Isma’iliyyah, khususnya da’ie-da’ie Qarmatiyyah akan tetapi dimasukkan ke dalamnya satu semangat ilmiah dan ahli falsafah yang baru. (Majid Fakhry, 1993: 198).
Menurut karya al-Sijistani; Shuwan al-Hikmah (Piala Kebijaksanaan) pada abad ke-10 dan dikarang semula oleh pengarang-pengarang seterusnya, tokoh-tokoh yang aktif dalam Ikhwan al-Safa, yang juga bertanggungjawab atas lima puluh dua risalah (surat-surat) falsafah dan sebuah ringkasan, terdiri daripada Abu Sulaiman Muhammad bin Ma’syar al-Busti (terkenal sebagai al-Muqaddasi), Abu al-Hasan ‘Ali bin Harun al-Zanjani, Abu Ahmad al-Mahrajani (orientalis De Boer menamakannya Muhammad bin Ahmad al-Nahrajuri), Abu al-Hasan al-‘Ufi dan Zaid bi Rifa’ah. Menurut al-Sijistani, orang-orang ini merupakan “sekelompok sarjana yang menyelenggarakan pertemuan dan menyusun risalah-risalah Ikhwan al-Safa, rangkaian kata yang sebenarnya diciptakan oleh Al-Muqaddasi. (Majid Fakhry, 1993:199).
Golongan ini telah bermesra sesama mereka dan membersihkan diri serta beribadat kepada Allah. Mereka berjuang secara sulit dan mengharapkan kemenangan dan keredhaan Allah. Perjuangan inilah yang menyebabkan mereka digelar Ikhwan al-Safa. Mereka telah menggabungkan ilmu falsafah, agama dan sains dalam penulisan. Mereka menganggap bahawa syariah telah diseleweng dan dicampur aduk dengan perkara yang tidak benar. Tiada jalan lain yang boleh digunakan untuk memperbaiki keadaan ini melainkan dengan menggunakan falsafah kerana mengandungi hikmat iktiqad dan maslahah ijtihad. Apabila bercantum antara falsafah Yunani dengan Syariah Muhammad saw maka tercapailah kesempurnaan (kamil). (Ensiklopedia Islam,1998:51-52).
Ikhwan juga mempunyai idea pemikiran dalam kosmologi dan metafizik. Kumpulan Ikhwan al-Safa sangat meminati ilmu-ilmu matematik, yang turut merangkumi ilmu aritmatik, geometri, astronomi geografi, muzik, dan logik. Ikhwan al-Safa juga turut menyumbang pemikiran dalam bidang psikologi dan epistemologi. (Majid Fakhry, 1993:199).
*sambungan akan datang..