Falsafah kini merupakan salah satu ilmu yang perlu dipelajari bagi menghadapi isu-isu dunia dan pemikiran. Pelbagai isu dan teori telah dinukilkan oleh para ahli falsafah terdahulu, iaitu sejak dari zaman Socrates ke zaman Neo-Platonisme iaitu falsafah Greek, hinggalah terkenalnya tokoh-tokoh ahli falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina dan Ikhwan al-Safa.
Gnosticisme adalah merupakan salah satu topik falsafah yang dibincangkan oleh para ahli falsafah Islam dan Greek. Pelbagai pendapat dikeluarkan bagi menjawab persoalan ini. Ikhwan al-Safa yang merupakan sekelompok manusia yang bersaudara telah menjelaskan mengenai permasalahan ini dalam beberapa surat-surat dan ringkasan-ringkasan karangan mereka yang dikenali sebagai Rasail Ikhwan al-Safa wa Khullan al-Wafa’, khususnya dalam kelompok suratnya yang pertama iaitu bahagian matematik.
Gnosticisme ini jika ditakrifkan dari sudut bahasa dapat difahami sebagai kemistikan, magis dan perkara-perkara yang merupakan ramalan dan tekaan semata. Terdapat juga amalan gnosticisme ini dalam agama-agama samawi yang lain seperti Kristian dan Yahudi. Dinukilkan dalam sebuah karangan Sayyed Hossein Nasr, yang bertajuk Suhrawardi: The Master of Illumination, Gnostic and Martyr di dalam buku yang Islamic Phylosophy and Theology, yang diedit oleh Ian Richard Netton, mengatakan bahawa setiap penganut Kristian dan setiap mazhab mereka, mempercayai bahawa mereka hanya akan mendapat cahaya kemuliaan atau barakah melalui Yesus (Nabi Isa a.s.) sahaja. Dan ini adalah salah satu fahaman gnosticisme yang terdapat dalam Kristian yang ditolak oleh Islam.
Ikhwan al-Safa banyak membincangkan mengenai gnosticisme ini contohnya numerologi, astrologi, falsafah sufisme dan pelbagai lagi. Maka, boleh juga jika dikatakan gnosticisme ini merupakan pengaruh fahaman Greek dan Kristian. Namun, terdapat beberapa masalah yang ditolak Islam mengenainya. Oleh itu, falsafah pemikiran amat diperlukan bagi menghadapi isu-isu seperti ini untuk menjaga agama Islam dan falsafah Islam itu sendiri.
*sambungan akan datang..