Berikut adalah email yang diterima kami dari salah seorang pensyarah Jabatan kami bagi menjawab persoalan yang dipersoalkan oleh pemberi soalan, yang mana soalan tersebut berbunyi..
- " Ustaz pernah kata, golongan Muktazilah ini berpegang bahawa setiap perkara itu mesti ada hikmah. Ada kawan saya yang bersetuju bahawa Allah S.W.T tidak akan menjadikan sesuatu itu dengan sia2. Jadi, bagaimana pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam persoalan hikmah ini. Bagaimana saya hendak menjawab persoalan dari kawan2 saya yang dari jabatan lain yang kata setiap benda mesti atau wajib ada hikmah."
- "Memang kebiasaan, pelajar-pelajar Usuluddin dituduh sesat atau pelik (samada dengan lafaz atau sekadar dengan makna) kerana perbezaan pandangan dengan pelajar lain. Secara tradisinya Jabatan Usuluddin samada pensyarah atau pelajar menjadi pendokong kepada Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang bersikap dinamis (tidak statik) dan progresif (tidak jumud dan rigid) dengan semua ilmu dan disiplin termasuk Akidah, Fiqh, Tasawwuf, mahupun falsafah (yang sering dipertikaikan oleh orang lain khususnya yang kurang ilmu dalam bidang falsafah)."
- "Sikap sedemikian yang berlandaskan pemikiran wasatiyah dan moderate wajar dipertahankan, namun pendekatan untuk berhadapan dengan pelajar jabatan lain juga harus moderate dan wasatiyyah. Mungkin tidak semua perkara perlu diberitahu atau disampaikan, namun prinsip-prinsip seperti dalam isu akidah wajar diketengahkan untuk menjelaskan kekeliruan dalam hal ini seperti isu hikmah ini, tetapi janganlah sampai menimbulkan pertelagahan. Perkara sebegini pernah berlaku. Diharapkan tidak berlaku lagi pada waktu sekarang. Harap ia sekadar perbincangan antara pelajar."
- " Hikmah adalah untuk manusia, bukan untuk Tuhan. Tuhan tidak perlukan apa-apa hikmah untuk membuat apa-apa. Tuhan membuat sesuatu atas kehendakNya. Persoalan hikmah, faedah, manfaat adalah menurut kacamata manusiawi. Sedangkan hakikat sesuatu tidak mungkin difahami secara hikmah melainkan sekadar memuaskan akal manusia sahaja. Ya betul setiap perkara tidak dijadikan dengan sia-sia, ada manfaatnya, tapi bukan kerana manfaat itu Allah menjadikannya. Ini kerana Allah tidak boleh terikat dengan sesuatu tujuan atau tanggungjawab yang secara langsung boleh membawa kepada pengurangan kepada sifat Ketuhanan yanga mana ia adalah mustahil. Hikmah, manfaat, dan sebagainya adalah perkara mendatang, bukan perkara pangkal atau sebab."