Rabu, 13 April 2011

:: BERFIKIR DAN BERSYUKURLAH ::


Maksud tajuk di atas ialah hendaklah engkau mengingati nikmat Allah kepadamu, nikmat yang melimpahi hidupmu yang mengililingi dari atas hingga ke bawah tapak kakimu. Firman Allah yang bermaksud : " Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya." (Ibrahim: 34)

Nikmat kesihatan badan, nikmat keamanan, nikmat kedamaian negara, nikmat makanan dan pakaian, nikmat udara dan air, engkau memiliki dunia ini namun tidak engkau sedari, engkau memiliki kehidupan ini namun tidak engkau ketahui. Firman Allah yang bermaksud: "Dan menyempurnakan untukmu nikmatNya zahir dan batin." (Lukman: 20)

Engkau memiliki 2 mata, lidah, bibir, 2 tangan dan 2 kaki. Firman Allah yang bermaksud: "Maka nikmat Tuhan yang manakah yang engkau dustakan." (Al-Rahman: 13)

Apakah merupakan satu permasalahan yang mudah apabila engkau berjalan di atas kedua tapak kakimu  sementara kedua kakimu terkilir dan bengkak, apakah suatu perkara yang mudah bagimu berdiri di atas kedua kaki sementara keduanya telah hilang dipotong, apakah tercela apabila engkau dapat tidur dengan lelap sementara orang lain aada yang tidak dapat tidur barang sekejap pun. atau engkau dapat memenuhi perutmu dengan makanan yang lazat-lazat, minum daripada air yang jernih sementara ada orang yang beberapa hari tidak memperoleh makanan dan tidak dapat minum kerana suatu penyakit. 

fikirkanlah mengenai TELINGAmu yang terhindar daripada penyakit pekak, perhatikanlah MATAmu yang selamat daripada penyakit buta dan lihatlah KULITmu yang terlepas daripada penyakit kurap dan kusta, serta perhatikanlah AKALmu yang dengan kewujudannya engkau telah memperolehi suatu nikmat yang teramat besar sehingga engkau terlepas daripada penyakit gila dan hilang akal. 

Apakah engkau ingin menukar satu MATAmu dengan satu gunung emas???atau 
Apakah engkau mahu menjual TELINGAmu dengan satu bukit permata?
Apakah engkau ingin membeli sebuah istana mewah dengan LIDAHmu sehingga engkau tidak dapat berbicara dan menjadi bisu?????
Apakah engkau akan menggadaikan kedua LENGANmu untuk mendapatkan intan permata dan mutiara???

sesungguhnya engkau memiliki nikmat yang amat berharga dan memiliki bentuk badan yang sempurna hanya sahaja engkau tidak menyedarinya, engkau sentiasa berasa hidup ini penuh kesedihan sementara makanan lazat ada di hadapanmu, air sejuk, tidur yang lelap, kesihatan badan, semuanya ada di sisimu, engkau sentiasa memikirkan apa-apa yang tidak ada dan tidak mahu bersyukur atas apa yang telah engkau miliki, engkau terkejut mendengar kerugian wang sementara engkau memiliki kunci-kunci kebahagiaan dan jambatan-jambatan kebaikan, limpahan anugerah, kenikmatan dan segala sesuatunya, oleh sebab itu fikirkanlah dan bersyukurlah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tiada memperhatikan?"(Al-Dzariat: 20)

Fikirkan dan renungkan mengenai dirimu, ahli keluargamu, rumahmu, pekerjaanmu, kesihatanmu, rakan-rakanmu, dan dunia yang ada di sekelilingmu. Firman Allah yang bermaksud: "Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kafir."(Al-Nahl: 83)





min kitb: Thalaathuuna Sababan Lis Sa'aadah...



Catatan Popular